Apakah perancangan anda untuk jaminan diri dan keluarga tersayang ?

Adakah simpanan anda mencukupi jika berlaku sesuatu musibah menimpa ke atas anda untuk menampung kos rawatan, sara hidup dan pendidikan anak.






Friday, March 27, 2009

Etiqa bantu institut pengajian tinggi

BUKIT MERTAJAM 27 April - Syarikat insurans, Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) berjaya mengutip zakat perniagaan sebanyak RM1.9 juta sejak Februari 2006 yang digunakan untuk membantu beberapa institusi pengajian dan kebajikan di seluruh negara.

Pengarah Program Tanggungjawab Korporat Etiqa, Dr. Zulkifli Zakaria berkata, penggunaan wang zakat tersebut merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Zakat Korporat (CZR) Etiqa.

"CZR merupakan antara cara kami membantu mereka yang memerlukan sumbangan seperti yang dituntut agama sekali gus merapatkan organisasi ini dengan orang ramai," katanya yang juga Ketua Divisyen Syariah Etiqa ketika berucap merasmikan bangunan tambahan dua tingkat Madrasah Al-Aminiah, Permatang Pauh di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful Berhad, Tarmidzi Ahmad Nordin dan Pengetua Madrasah Al-Aminiah, Azamuddin Alang Hamzah.

Bangunan tambahan dua tingkat bernilai RM250,000 itu merangkumi enam buah bilik darjah termasuk dua buah bilik yang boleh ditukar menjadi dewan bila diperlukan.

Selain merasmikan bangunan tersebut, Etiqa turut menyampaikan insurans takaful berkelompok kepada 503 orang pelajar di madrasah itu yang bernilai RM10,000 dan sumbangan kakitangan Maybank Berhad berjumlah RM1,008.

Etiqa turut menyampaikan sumbangan alat tulis kepada kesemua pelajar madrasah itu.

Menurut Dr. Zulkifli, peruntukan pembinaan bangunan tambahan tersebut merupakan yang terbesar pernah disalurkan berbanding projek-projek CZR yang lain.

Katanya, antara projek CZR termasuk pembinaan surau bagi Yayasan Pengajian Islam Merbok, Kedah dan Yayasan Kebajikan Suria, di Tuaran Sabah, membina asrama bagi pelajar lelaki di Tahfiz Madrasah Ar-Rahmaniah, Neting, Kelantan serta mendirikan bangunan perpustakaan dan pentadbiran bagi Madrasah Pondok Darussalam, Kuala Ibai, Terengganu.

Ujar Dr. Zulkifli, projek di Madrasah Al-Aminiah merupakan yang ke-10 sejak CZR Etiqa dilancarkan pada Mac 2006.

Sementara itu, pengetua madrasah, Azimuddin mengucapkan terima kasih kepada Etiqa kerana sudi membina bangunan tambahan tersebut yang amat diperlukan demi keselesaan pembelajaran pelajar.

Beliau juga berharap lebih banyak syarikat korporat sudi tampil menghulurkan sumbangan bukan sahaja kepada Madrasah Al-Aminiah tetapi madrasah lain agar imej sekolah pondok dapat ditingkatkan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

RUJUKAN UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment